5 lagi mayat ditemui, mangsa bot karam di Sabak Bernam


HUTAN MELINTANG: Lima lagi mayat mangsa bot karam termasuk seorang kanak-kanak ditemui menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban susulan insiden bot karam di perairan Sabak Bernam sejak tiga hari lalu meningkat kepada 29 orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata semua mayat berkenaan ditemui pasukan pencari dan menyelamat antara pukul 1.30 hingga 4 petang tadi.

"Tiga mayat berkenaan ditemui di muara Sungai Bernam oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan tiga batu nautika daripada lokasi kejadian bot karam.

"Manakala dua lagi mayat ditemui oleh kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemui kira-kira 15 batu nautika daripada pantai," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Berdasarkan penemuan mayat oleh kapal milik TLDM itu, keseluruhan kawasan pencarian diperluaskan kepada 1,000 kilometer persegi dan dibahagikan kepada sembilan sektor di laut manakala 2,000 kilometer oleh aset udara.

Jelas Mohd Shuhaily, sektor pencarian diperluaskan berikutan kebimbangan mangsa dihanyutkan arus.

Sementara itu enam daripada 23 mayat yang dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat sebelum ini telah dikenal pasti.

Pengecaman kesemua mayat berkenaan dibantu oleh waris dan keluarga.

“Enam mayat telah dikenalpasti kebanyakan dari Acheh, dikenalpasti identiti, lima di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan satu di Hospital Teluk Intan. Lain-lain belum dapat dikenalpasti lagi sebab waris belum datang. Satu mayat telah dibedah siasat dan dikenalpasti mengikut dokumen yang ada dengan dia, cuma tiada waris," katanya.

Tambah beliau, kerjasama dari waris keluarga mangsa terlibat dialu-alukan bagi membantu mempercepatkan proses pengecaman mangsa.

Manakala pihak kedutaan akan membantu proses pengurusan dan pengecaman dengan berhubung terus dengan waris atau keluarga yang berada di Indonesia.

Siasatan berhubung insiden bot karam ini masih diteruskan termasuk dalam mengesan pemilik atau tekong bot malang itu.

Mengulas hasil soal siasat awal bersama mangsa, tambah beliau bot berkenaan dipercayai membawa 70 ke 80 penumpang ketika kejadian.

Bot pancung itu hanya mampu membawa muatan penumpang seramai 10 ke 15 orang.
Bot sepanjang 12.192 meter itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengeluarkan perintah tahanan reman selama 14 hari bermula hari ini ke atas 19 warga asing yang terselamat dalam tragedi bot karam itu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi membolehkan kesemua yang terselamat itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan memasuki dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau jalan yang tidak diwartakan.
Share this article :
+
Previous
Next Post »
Check Page Rank
 
Copyright © 2010 Blog Blue Box - All Rights Reserved
Template By. Kunci Dunia
Back To Top