Adakah Anak-Anak Kita Mempunyai Tabiat Makan Yang Betul?


Satu kajian yang dijalankan dua tahun lepas oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas lebih 9,000 murid sekolah rendah berumur 7-12 tahun menunjukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Hasil kajian itu juga menunjukkan:

1. Tidak mengambil sarapan

Satu dalam setiap tiga murid sekolah rendah tidak mengambil sarapan. Apabila anak-anak anda tidak mengambil sajian pertama yang penting dalam sehari, mereka tidak mendapat cukup tenaga untuk membolehkan mereka cerdas dan memberi tumpuan dalam kelas. Mereka juga menjadi lesu dan mudah merasa letih.

2. Snek tidak sihat

Empat daripada sepuluh murid sekolah rendah mengambil snek setiap hari. Tabiat makan snek yang tidak sihat, sama ada mengambil snek terlalu hampir dengan waktu makan atau mengambil snek dengan kalori tinggi dan nutrien rendah seperti kentang goreng, coklat dan gula-gula, boleh mengganggu selera anak-anak untuk makan sajian yang sihat apabila tiba waktu makan.

3. Gaya hidup santai dan kurang aktiviti fizikal

Dua daripada lima murid sekolah rendah tidak aktif. Semakin ramai kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti santai seperti menonton televisyen, membaca, dan leka dengan permainan komputer/elektronik. Tiada perbezaan besar antara kanak-kanak bandar dan luar bandar.

Permulaan hari yang sihat

Jika anak anda cerewet makan, langkah pertama ialah kenal pasti punca masalah. Adakah mereka tidak mengambil sarapan? Kurang aktiviti fizikal atau kerap makan snek? Apabila sudah mengenal pasti puncanya, anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk menangani masalah ini.

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang sangat penting untuk memperkasakan diri anda sendiri, supaya anda dapat menanamkan tabiat makan yang sihat di kalangan anak anda sejak kecil. Pelajari asas pemakanan yang baik dan turunkan pengetahuan ini kepada anak-anak anda.

Ajar anak anda memilih makanan mereka dengan bijak, serta mengamalkan tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif sejak kecil. Ini akan memastikan mereka mempunyai asas yang kuat untuk membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang sihat sepanjang hayat.
Share this article :
+
Previous
Next Post »
Check Page Rank
 
Copyright © 2010 Blog Blue Box - All Rights Reserved
Template By. Kunci Dunia
Back To Top